WHY ME? : Mengapa
Harus Aku...
DIMENSI RASA MANGSA BULI
Ketika masa sunyi, aku seringkali terfikir akan
gejala buli dalam masyarakat.Aku memanggilnya gejala kerana ia semakin membarah
seperti sesuatu yang tidak tertahan-tahan. Aku pernah melihat sekumpulan
anak-anak bermain.Ada yang aktif dan ada yang hanya memerhati,sekadar duduk
melihat teman lain bermain.Anak-anak yang aktif
cenderung untuk bersifat dominan manakala yang pasif bersifat menerima dan
lebih suka berdiam diri. Bagaimana buli boleh berlaku di kalangan kanak-kanak?
Ia adalah satu persoalan yang tentunya boleh dijawab oleh pakar psikologi.Aku
bukan pakar psikologi,cuma aku sedar dan tahu kanak-kanak yang pasif cenderung
untuk menjadi mangsa buli. Kenapa?Kerana dia tidak tahu bergaul atau tidak
pandai membiasakan diri dengan rakan-rakan yang lain. Itulah jawapan yang
paling mudah, barangkali. Adakah ia jawapan yang paling tepat?Apa yang akan
berlaku kepadanya apabila dia membesar kelak?
Kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa buli ketika
kecil tetap membesar seperti kanak-kanak yang lain,cuma kepedihan masa lampau
tetap akan diingatinya.Aku memanggilnya kepedihan kerana kanak-kanak mempunyai
ingatan yang tajam dan apa-apa jua pengalaman yang dialaminya lebih-lebih lagi
yang bersifat kesakitan akan disimpan dalam bentuk memori.Apabila kanak-kanak
itu meningkat remaja, dia cenderung untuk dibuli lagi.Kenapa?Apakah dalam
tempoh itu dia tidak mampu untuk mengubah dirinya menjadi keras
sedikit,menambah pergaulannya,atau lebih hebat lagi menjadi ikutan dan idola
remaja yang seangkatan dengannya?Ini adalah kerana dia rasa rendah diri dan
hilang keyakinan.Motivasi dan moral dalam dirinya telah dihancurkan.Apa yang
menyedihkan dia terusan dipukul atau disepak terajang.Emosi yang bercelaru ini
memungkinkan dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
pelajaran.Namun, sekiranya dia berfikiran positif dia mampu menangani situasi
dan seterusnya melangkah jauh. Apabila mangsa buli menginjak dewasa, dia juga akan
bekerja seperti yang lain.Alam pekerjaan amat berbeda kalau dibandingkan dengan
alam persekolahan.Dari segi pergaulan, dia akan berjumpa dengan mereka yang
pelbagai sifatnya.Adakah di kalangan mereka itu wujud juga pembuli?Mangsa buli
akan lebih berhati-hati dalam pergaulan atau cuba-cuba menjadi seorang yang
dominan (?)Ketakutan silam boleh mengubah peribadi mangsa buli.Sama ada dia
kekal lemah dan terus menjadi bahan gurauan dan usikan melampau atau menjadi
seorang yang positif dan mula aktif dalam pergaulan.Terkadang mereka mengambil
peluang mengusik orang lain (sekadar mengusik) untuk mengelakkan diri daripada
dibuli sekiranya dalam kelompok manusia itu belum ada yang tahu dirinya pernah
dibuli.Adakah perubahan ini memberikan suatu nilai baru kepada dirinya yang
difikirkannya baik atau suatu kekeliruan peribadi yang meresahkan? Adakah
gejala buli ini akan terus berlaku?Ia akan terus berlaku selagi-lagi dalam diri
manusia itu masih ada sikap memandang rendah dan keinginan untuk menakluki
orang lain.Sedih,kan?







0 ulasan:
Catat Ulasan