Ahad, 29 November 2015

Antara Guru Dan Murid


Antara Guru Dan Murid

Saya tidak akan menganggap murid saya sebagai kawan walaupun saya mengambil berat terhadap pelajaran mereka.Mereka hanya murid saya dan lebih lebih baik kekal begitu untuk selamanya demi menjaga keterbatasan.Dengan itu, mereka akan lebih menghormati kita sebagai guru. Rasanya tidak perlu untuk kita berkongsi nombor telefon terutamanya aplikasi WhatsApp atau WeChat dengan pelajar.Cukup sekadar perbincangan rasmi di sekolah.Ini pandangan peribadi saya.

Foto : Sekadar gambar hiasan

Tertawa Dan Berfikir Kemudiannya


Setiap seorang daripada kita pasti ada sesuatu yang ingin dibicara dan diceritakan.Adunan dan rencah yang berbeda, beraneka warna dan baunya.Terkadang mengundang lelucon yang membuatkan kita tertawa, dan terhenti kemudiannya.Sejenak memikirkan.Tertawa, dan dalam masa yang sama berfikir.Itulah Laugh and Think At The Same Time.~

Sabtu, 28 November 2015

Kritikan dan Penyelesaian


Kritikan dan Penyelesaian
Mengkritik adalah mudah. Mengatakan seseorang itu tidak betul juga mudah. Namun, tahukah anda bahawa setiap kritikan yang dilontarkan perlu disertakan jalan penyelesaian? Ianya penting sebagai motivasi kepada mereka yang dikritik. Jika tidak disertakan jalan penyelesaian, samalah ertinya memandang cermin dan memaki diri sendiri. 

Am Nass Menulis


Saya seorang penulis yang mendansakan penanya di atas kertas kehidupan...

"Ada dua perbedaan dalam penulisan.Pertama, menulis sekadar menulis.Kedua, menulis dan memaknakannya.Penulis tidak mampu mengubah pemikiran manusia secara total. Namun, apa yang ditulis akan kekal dalam hati dan minda seseorang. Novel, cerpen, dan puisi adalah wahana yang boleh digunakan dalam merungkai persoalan hidup manusia yang rencam. Kita menyertai sayembara penulisan bukan semata-mata mengharapkan kemenangan, namun perkongsian ilmu dalam dunia sastera itu yang paling penting. Menulis dengan rasa rendah diri, dan sejujur peribadi akan menjadikan karya itu lebih menarik untuk ditatap, dibaca, dan kemudian dihayati isi dan kandungannya.Puisi. Kita tidak membaca dan menulis puisi kerana ianya comel. Kita membaca dan menulis puisi kerana kita ialah ahli umat manusia. Dan umat manusia dipenuhi dengan kesukaan dan kegemaran. Perubatan, undang-undang, perniagaan, dan kejuruteraan. Ini adalah usaha-usaha yang mulia dan perlu untuk mengekalkan kehidupan. Tetapi puisi, kecantikan, cerita roman, cinta dan kasih sayang. Ini adalah apa yang kita perlu untuk terus hidup.”Berkaryalah, selagi mampu. Sesungguhnya karya yang kita tulis itu adalah cerminan masyarakat. Dan, mereka iaitu pembaca paling berhak untuk menilai. Saya akan membawa anda ke dalam dunia penulisan saya...

Menuai Kejayaan( Buat Mereka Yang Penat Berusaha)


Menuai Kejayaan( Buat Mereka Yang Penat Berusaha)

Setiap orang inginkan kejayaan dalam hidup mereka. Tidak ada seorang pun yang ingin gagal, bukan? Namun, setiap kejayaan yang dikecapi itu bukan datang bergolek tetapi hasil daripada berkat usaha dan penat lelah kita. Ada yang sudah berjaya, tetapi ada juga yang masih tidak bernasib baik.Selama mana kita ingin di takuk lama? Persoalan ini tentunya sentiasa bermain di minda mereka yang masih belum mencapai kejayaan dalam hidup. Adakah ini semua ujian atau balasan daripada Tuhan? Pastinya kita ingin berfikir yang baik-baik sahaja. Melihat kejayaan dalam diri orang lain juga menimbulkan rasa cemburu. Tetapi dari sudut positif, kita juga ingin menjadi seperti mereka. Doa tanpa usaha yang gigih juga tidak akan membuahkan hasil. Bagaimana ingin jadi seperti mereka yang sudah berjaya? Jawapannya mudah sahaja. Ayam tidak tahu apa akan jadi kepada telur. Adakah akan menetas atau dimasak di dalam kuali. Ertinya, kita sendiri masih tidak tahu akan masa depan. Adakah selama ini kita betul-betul memancing untuk mendapatkan ikan, atau hanya sekadar melemaskan cacing. Sama-sama kita fikirkan... 

Nota Buat Si Dia (Kepada Yang Belum Berpunya.)


Nota Buat Si Dia (Kepada Yang Belum Berpunya.)

Dalam mencari pasangan hidup, kita terkadang keliru milih. Adakah dia pilihan yang paling tepat? Bukan semua yang kita mahukan dalam hidup ini akan kita dapat. Kita hanya merancang, Tuhan yang tentukan. Begitu juga dalam mencari pasangan. Tentunya kita inginkan pasangan hebat, yang sentiasa menarik perhatian setiap kali kita menatapnya. Apa yang dicari oleh seseorang itu sebenarnya? Wajah yang tampan atau cantik? Personaliti? Kerjaya yang mantap? Penyayang dan memahami? Semua kualiti ini melengkapkan pencarian kita. Pernah kita melihat atau mendengar cerita di mana cinta seseorang lelaki itu ditolak oleh wanita? Tentu pernah bukan. Dan pastinya, cinta bukan paksaan menjadi alasan penolakan itu. Adakah lelaki perlu rasa kecewa malahan berdendam kepada wanita yang menolaknya? Selalu kita dengar wanita diganggu dan dikasari kerana menolak cinta lelaki yang ingin menjadikannya pasangan hidup. Wanita ini tentunya akan mengalami trauma dan gangguan emosi. Perlukah wujud paksaan? Jawapannya tidak. Kenapa? Kerana tugas lelaki adalah memikat dan wanita berhak untuk memilih.Itu sahaja.Jadi jangan penat mencuba.

Dalam Perhubungan...


Sahabat Sejati (Makna Sebuah Persahabatan)


Sahabat Sejati (Makna Sebuah Persahabatan)
Sahabat.Keberadaan seorang sahabat sejati begitu penting dalam hidup ini. Amat tidak mudah untuk kita menemukan seorang yang pantas untuk dijadikan sahabat sejati daripada sekian banyak teman yang kita ada.Sahabat sejati adalah sahabat yang tidak punya hati nurani untuk menusuk dari belakang atau menjadi duri dalam daging dan tidak memiliki rasa iri dan dengki.Saling memberi dan saling menerima. Namun, terkadang wujud juga salah faham dan pertelingkahan. Apa yang harus dibuat? Saat kita sunyi sendiri dan menyesali perbuatan, renunglah foto lama. Di dalamnya masih lagi tersimpan senyuman yang memaknakan persahabatan.Dan fragmen-fragmen kenangan indah yang retak akan bercantum kembali.Cubalah... ;)

Pergilah Dandelion (Hidup Ini Adalah Perantauan)


Pergilah Dandelion (Hidup Ini Adalah Perantauan)
Ada orang dalam hidupnya suka merantau. Mencari pengalaman dan meneroka persekitaran yang baharu. Tiada yang menghalang. Pergilah melata ke mana sahaja. Pergilah ke mana yang anda suka. Asal tahu akar umbi diri. Tunjang yang perlu dipasak kuat di dalam diri. Sebab itulah mungkin ada yang berkata hidup di tempat yang dugaannya lebih besar dan di sekelilingnya mencabar keimanan; akan melahirkan orang yang lebih kuat dalam mendepani dugaan berbanding orang yang sentiasa dilimpahi persekitaran yang aman dan dugaan-dugaan kecil. Pun; kalau orang itu kuat imannya dalam menepis petaka malang yang menjarah diri.
Jadilah seperti dandelion. Dihembus orang terbang bebas ke pelusuk, akhirnya tumbuh menjadi yang baru; lebih baik dan penuh pengalamannya. Begitu juga dengan kita. Lewat diri mengerti bahawa kita perlu sentiasa sedar akan asli diri yang tidak pernah pudar.

p/s : kata-kata dipetik daripada seorang blogger yang kini menyepi...

Mencari Diri


Ketika aku masih kecil...suatu hari, menunggang basikal hijau yang biasa aku gunakan, aku berfikir : sejauh mana aku boleh pergi tanpa berpatah balik? 

Mencari diri. Pernahkah kita terfikir untuk mencari diri? Meneroka setiap ruang dalam diri kita, menemukan sesuatu yang terisi, sarat dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Atau menemukan sesuatu yang kosong, sunyi dan terasing.Akhirnya, kita sedar akan kekurangan dan kelemahan diri sendiri.

Wujudkah perbezaan di antara sesuatu yang akan lenyap dengan sesuatu yang tidak pernah wujud? Jawapannya, ya. Ringkas dan asas. Ia ada di dalam hati kita.

ROKOK : Jangan Meletakkan Nyawa Mereka di Landasan Maut



ROKOK : Jangan Meletakkan Nyawa Mereka di Landasan Maut

Berhenti merokok mengejut memang memeritkan. Sakit kepala, hingus, seram sejuk, adalah pengalaman yang terpaksa ditempuh. Ia adalah proses biasa, sedang oksigen mula bertambah dalam peparu. Kemudiannya, apabila pulih sepenuhnya, yang kita lihat ialah wajah yang lebih sihat dan ceria. Lebih bersemangat. Tiada lagi garis – garis cengkung, dantubuh lebih berisi bagi mereka yang kurus. Ia adalah satu usaha yang wajar diberi pujian. Menukar gaya hidup ke arah sesuatu yang lebih bermakna.

Merokok bukan lagi lambang kemegahan individu. Tampak, ia adalah keresahan yang ingin ditinggalkan oleh perokok sebenarnya. Selamanya. Namun, ianya terhalang oleh kemegahan yang telah terbina sekian lama. Atas dasar kesukaran, mereka membatalkan niat. Namun, halangan itu tidak ubah seperti hologram. Ia boleh dimatikan. Butangnya ada pada perokok itu sendiri. Apabila mereka memikirkan seperti itu, tampak ia lebih mudah. Namun, butangnya akan terhidup semula atas ketidakmampuan perokok untuk bertahan. Nyata, ia menuntut kesungguhan yang bukan sedikit. 

Mereka yang sudah bekeluarga perlu memikir serius akan hal ini. Jangan meletakkan nyawa kita di landasan maut.Jangan meletakkan nyawa mereka di landasan maut. Tiada keberhasilan tanpa LANGKAH PERTAMA. Lepaskan diri daripada kepulan asap. Cuba dan usahakan sehingga berjaya, kerana setiap sedutan dan hembusan itu merampas setiap saat bahagia dalam hayat kita, yang masih ingin bermesra dan menatap wajah mereka untuk tempoh yang lebih lama.

WHY ME? Mengapa Harus Aku : DIMENSI RASA MANGSA BULI




WHY ME? : Mengapa Harus Aku... 
DIMENSI RASA MANGSA BULI
Ketika masa sunyi, aku seringkali terfikir akan gejala buli dalam masyarakat.Aku memanggilnya gejala kerana ia semakin membarah seperti sesuatu yang tidak tertahan-tahan. Aku pernah melihat sekumpulan anak-anak bermain.Ada yang aktif dan ada yang hanya memerhati,sekadar duduk melihat teman lain bermain.Anak-anak yang aktif cenderung untuk bersifat dominan manakala yang pasif bersifat menerima dan lebih suka berdiam diri. Bagaimana buli boleh berlaku di kalangan kanak-kanak? Ia adalah satu persoalan yang tentunya boleh dijawab oleh pakar psikologi.Aku bukan pakar psikologi,cuma aku sedar dan tahu kanak-kanak yang pasif cenderung untuk menjadi mangsa buli. Kenapa?Kerana dia tidak tahu bergaul atau tidak pandai membiasakan diri dengan rakan-rakan yang lain. Itulah jawapan yang paling mudah, barangkali. Adakah ia jawapan yang paling tepat?Apa yang akan berlaku kepadanya apabila dia membesar kelak? 

Kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa buli ketika kecil tetap membesar seperti kanak-kanak yang lain,cuma kepedihan masa lampau tetap akan diingatinya.Aku memanggilnya kepedihan kerana kanak-kanak mempunyai ingatan yang tajam dan apa-apa jua pengalaman yang dialaminya lebih-lebih lagi yang bersifat kesakitan akan disimpan dalam bentuk memori.Apabila kanak-kanak itu meningkat remaja, dia cenderung untuk dibuli lagi.Kenapa?Apakah dalam tempoh itu dia tidak mampu untuk mengubah dirinya menjadi keras sedikit,menambah pergaulannya,atau lebih hebat lagi menjadi ikutan dan idola remaja yang seangkatan dengannya?Ini adalah kerana dia rasa rendah diri dan hilang keyakinan.Motivasi dan moral dalam dirinya telah dihancurkan.Apa yang menyedihkan dia terusan dipukul atau disepak terajang.Emosi yang bercelaru ini memungkinkan dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.Namun, sekiranya dia berfikiran positif dia mampu menangani situasi dan seterusnya melangkah jauh. Apabila mangsa buli menginjak dewasa, dia juga akan bekerja seperti yang lain.Alam pekerjaan amat berbeda kalau dibandingkan dengan alam persekolahan.Dari segi pergaulan, dia akan berjumpa dengan mereka yang pelbagai sifatnya.Adakah di kalangan mereka itu wujud juga pembuli?Mangsa buli akan lebih berhati-hati dalam pergaulan atau cuba-cuba menjadi seorang yang dominan (?)Ketakutan silam boleh mengubah peribadi mangsa buli.Sama ada dia kekal lemah dan terus menjadi bahan gurauan dan usikan melampau atau menjadi seorang yang positif dan mula aktif dalam pergaulan.Terkadang mereka mengambil peluang mengusik orang lain (sekadar mengusik) untuk mengelakkan diri daripada dibuli sekiranya dalam kelompok manusia itu belum ada yang tahu dirinya pernah dibuli.Adakah perubahan ini memberikan suatu nilai baru kepada dirinya yang difikirkannya baik atau suatu kekeliruan peribadi yang meresahkan? Adakah gejala buli ini akan terus berlaku?Ia akan terus berlaku selagi-lagi dalam diri manusia itu masih ada sikap memandang rendah dan keinginan untuk menakluki orang lain.Sedih,kan?